LONDON – Pihak pengurusan tertinggi Tottenham Hotspur dilapor sudah menyenaraikan nama pengendali baharu untuk menggantikan posisi Ange Postecoglou sekiranya pasukan itu tewas berdepan Manchester United di laman sendiri tengah malam ini.
Spurs melalui musim yang cukup sukar ketika Postecoglou memasuki musim kedua bersama kelab yang berpangkalan di utara London apabila mereka sekadar menghuni kedudukan ke-14 selepas 24 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Kegagalan meneruskan kemaraan apabila tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris dan Piala FA sebelum ini menyebabkan Postecoglou tidak mempunyai pilihan kecuali memenangi perlawanan menentang United untuk memperbaiki kedudukan.
Sebelum ini, pengerusi kelab itu, Daniel Levy dan ahli lembaga pengarah dikatakan mahu terus kekal menyokong Postecoglou kerana memahami situasi yang terpaksa dihadapi apabila Spurs berdepan isu kecederaan.
Pengendali dari Australia itu dilaporkan terpaksa beraksi tanpa 11 pemain utama selain beliau terpaksa mengubah posisi beberapa pemain lain termasuk Archie Gray dan Djed Spence, namun kegagalan demi kegagalan mungkin menyebabkan pihak pengurusan tidak mampu bersabar.
Pakar perpindahan, Fabrizio Romano mendedahkan bahawa pengendali Bournemouth, Andoni Iraola dikaitkan sebagai salah seorang calon pengganti sekiranya mereka terpaksa memecat Postecoglou.
“Iraola dipantau oleh beberapa kelab. Saya tidak pasti sama ada pihak Spurs telah menghubungi Iraola untuk sebarang rundingan,” katanya.
Romano percaya bahawa sekiranya berlaku perubahan, ia hanya akan dilakukan sebaik saingan musim ini berakhir, namun sumber dalaman juga menyebut bahawa wujudnya usaha untuk mendapatkan satu lagi calon lain.
Jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi dilihat sebagai calon sesuai untuk mengubah nasib Spurs, namun kelab itu perlu bersedia untuk menyiapkan kontrak yang cukup lumayan untuk memastikan pengendali itu meninggalkan San Siro.
Satu lagi aspek yang perlu dipertimbangkan oleh Spurs untuk mendapatkan Inzaghi adalah mereka perlu menyediakan wang dan memberikan sepenuh kuasa untuk beliau membuat keputusan pada pasaran perpindahan. – AGENSI