BRIGHTON – Desakan supaya pengurus, Enzo Maresca dipecat mula kedengaran apabila Chelsea mengalami kekalahan memalukan selepas tewas 0-3 kepada Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Amex, Brighton yang turun sebagai tuan rumah menampilkan aksi jauh lebih baik dengan meledak tiga gol menerusi dua jaringan Yankuba Minteh dan satu gol Kaoru Mitoma.
Lebih memalukan, ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut Chelsea kepada Seagulls dalam tempoh seminggu selepas turut mengalami nasib sama ketika tewas 1-2 pada pusingan keempat Piala FA.
Maresca berkata, beliau bersimpati dengan peminat-peminat yang datang ke stadium kerana dihidangkan aksi tidak bermaya daripada anak-anak buahnya, lebih-lebih lagi mereka gagal melakukan sebarang percubaan tepat.
“Dengan keputusan seperti ini, kami memang sangat kecewa. Sudah tentu saya bersimpati dengan penyokong-penyokong yang datang ke sini kerana kami sepatutnya menampilkan aksi lebih baik.
“Memandangkan saingan liga berbaki 14 perlawanan selain mengambil kira kedudukan sekarang, kami tidak boleh mensia-siakan setiap peluang yang ada. Aksi kami malam ini (semalam) di bawah paras sebenar,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menganggap ketiadaan penyerang dalam kesebelasan utama menjadi punca mengapa The Blues gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol pasukan tuan rumah. – AGENSI