KUALA TERENGGANU – Pasukan Gerak Am (PGA) berjaya merampas sisa elektronik atau e-waste berupa bateri terpakai bernilai RM72,000 dalam Ops Hazard di Kawasan Perindustrian Chendering di sini, semalam.
Serbuan berakhir pada pukul 2.30 petang dilakukan secara berasingan di dua premis di kawasan perindustrian tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, operasi berkenaan disertai sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan PGA Briged Tenggara dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuala Terengganu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa tong dan guni mengandungi bateri terpakai di dua premis terbabit.
“Pemeriksaan mendapati premis-premis berkenaan beroperasi tanpa dokumen yang sah daripada JAS.
“Dua lelaki berumur 56 dan 49 tahun yang disyaki penjaga kilang terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Chendering sebelum diserahkan kepada JAS Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE