DUNGUN – Seorang buruh maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan lalu terbabas merempuh besi penghadang jalan berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 11 pagi itu, mangsa, Amir Hamzah Johar, 37, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sewaktu kejadian, Amir Hamzah dikatakan dalam perjalanan ke Segamat, Johor dari rumahnya di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Bukit Besi di sini.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y16 yang dinaiki mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas.
“Motosikal itu kemudiannya bergesel dengan besi penghadang jalan,”, katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Maizura berkata, pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan Amir Hamzah telah meninggal dunia.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE