KUALA LUMPUR – Suami kepada pelakon Anzalna Nasir iaitu Hanif Zaki mendedahkan bahawa isterinya sudah membuat tinjauan beberapa sekolah khas buat anak-anak mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hanif, 38, memaklumkan suri hatinya memang sangat teliti tentang masa depan anak-anak terutamanya berkaitan hal pendidikan.
“Anzalna memang sangat teliti lebih-lebih lagi fasal pendidikan sebab itu dia pilih untuk tak berlakon.
“Dia nak besarkan anak dahulu tetapi saya bersyukur juga sebab boleh fokus kerja.
“Dia mula buat tinjauan sekolah sejak zaman PKP, ketika itu anak saya masih bayi,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sesi duta Jakel bertemu pengunjung di sini hari ini.
Sementara itu, pemilik nama lengkap Nur Anzalna Md Nasir, tidak kisah untuk menghantar mana-mana sekolah asalkan selesa buat anaknya.
“Tahun ini Eidress 6 tahun, saya dah ambil berat tentang sekolah mana nak hantar.
“Apa saya buat adalah buat tinjauan antara sekolah antarabangsa dan kerajaan sebab nak tengok perbezaan dan mana lebih sesuai dengan anak.
“Kita pun bekerja untuk masa depan anak, jadi memang nak berikan yang terbaik.
“Selepas buat tinjauan, mana-mana sekolah okey cuma anak kita kena selesa,” ujarnya.
Kongsinya lagi, segala usaha tersebut dilakukan semata-mata mahu anaknya melalui apa yang dilaluinya semasa kecil.
“Saya suka fikir masa depan. Biar kita buat persediaan pada awal.
“Dari kecil pun saya sekolah di luar, saya nak anak rasa apa yang saya lalui waktu kecil.
“Bagi saya, macam mana pun nak pilih sekolah terbaik untuk anak,” jelasnya.
Sebelum ini, Anzalna dan usahawan, Mohamad Hanif Zaki mendirikan rumah tangga pada 2016.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Eidrees, 6 dan Mohamad Emirhan yang kini berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE