SERDANG – Tiga anak kepada bekas wartawan Kumpulan Utusan, Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar menerima bantuan tunai menerusi Tabung Kasih@Hawana susulan pemergian bapa mereka semalam.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau turut menyerahkan sumbangan tunai peribadi bagi meringankan beban anak-anak tersebut.
“Saya akan memastikan mereka mendapat akses internet percuma selama setahun supaya tidak menghadapi sebarang kesulitan dalam pembelajaran dan komunikasi,” katanya ketika menziarahi anak-anak Allahyarham di kediaman mereka di Seri Kembangan di sini hari ini.
Menurut Fahmi, Allahyarham Muhammad Basir merupakan penerima pertama Tabung Kasih@Hawana pada April 2023 dan beliau masih mengingati lawatan pertamanya ke rumah keluarga itu sebagai menteri.
“Ketika itu, antara usaha kita adalah menyediakan internet percuma kerana tiga anak Allahyarham masih belajar.
“Hari ini, saya amat terkesan kerana mereka (anak-anak arwah) kini benar-benar yatim piatu selepas kehilangan ibu pada Oktober 2023 dan semalam, kita menerima berita pemergian Allahyarham (Muhammad Basir),” ujarnya.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan seramai 303 individu menerima bantuan Tabung Kasih@Hawana setakat ini.
Jelasnya, inisiatif tersebut akan diteruskan bagi membantu lebih ramai bekas wartawan yang berdepan kesulitan terutama yang mengalami masalah kesihatan kronik.
Semalam, Kosmo! melaporkan Muhammad Basir yang juga pemenang Hadiah Kewartawanan 2005 (Institut Akhbar Malaysia) meninggal dunia di Hospital Serdang semalam.
Perkara itu dimaklumkan oleh anak saudara Allahyarham dikenali sebagai Wanie Mat Noor menerusi akaun Facebook.
Difahamkan, Allahyarham Muhammad Basir mengalami masalah jantung dan beberapa komplikasi lain termasuk hati dan buah pinggang.
Allahyarham Muhammad Basir pernah bertugas di akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia sebelum syarikat Utusan Melayu Berhad ditutup pada 9 Oktober 2019.
Allahyarham Muhammad Basir meninggalkan tiga anak berusia 15, 13 dan 10 tahun. – KOSMO! ONLINE