BESUT – Warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Besut di sini gempar dengan penemuan seekor anak buaya tembaga yang tersesat masuk ke sebuah kolam tadahan di kampus tersebut hari ini.
Haiwan reptilia sepanjang kira-kira semeter berkenaan ditemui tersangkut di dalam jaring terdapat di dalam kolam tadahan berkenaan pada pukul 8.30 pagi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, anak buaya itu ditemui oleh pekerja am sewaktu menjalankan kerja-kerja pembersihan di kolam tadahan terbabit.
“Anak buaya tembaga terbabit termasuk ke dalam jaring perangkap sampah yang terdapat di kolam tadahan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kean Seong berkata, haiwan reptlilia tersebut dipercayai termasuk memasuki kolam tadahan itu dari sungai berhampiran.
Beliau berkata, anak buaya tembaga berkenaan berjaya ditangkap pekerja am UniSZA itu sebelum diserahkan kepada Perhilitan daerah Besut.
“Haiwan reptilia itu akan dilepaskan ke habitat asalnya berhampiran tidak lama lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE