SEGAMAT – Sebuah stor simpanan bahan kitar semula yang beroperasi secara haram terbakar dalam kejadian di Kampung Usaha Jaya, Labis di sini sejak dua hari lalu.
Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Hafifie Md Sarif berkata, bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi, Jumaat lalu.
Menurutnya, 25 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis dikerahkan ke tempat kejadian dengan kebakaran berskala besar di kawasan berkenaan.
“Setibanya di tempat kejadian, terdapat kebakaran aluminum dross di dalam stor kilang berkenaah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Hafifie berkata, operasi pemadaman masih dijalankan dengan menggunakan tanah dengan teknik menyelimut bahan yang sedang terbakar.
Ujarnya, operasi pemadaman tidak boleh menggunakan sumber air dan buih kerana bahan tersebut bertindak balas dengan air dan menghasilkan tindak balas kimia yang menghasilkan gas hidrogen yang berbahaya boleh memburukkan lagi kebakaran.
“Sebuah unit eskavator dan dua unit JCB digunakan dalam operasi ini di mana keadaan cuaca adalah cerah dan berangin.
“Operasi ditangguhkan pada pukul 7 malam semalam kerana ketiadaan stok tanah dan pasir dan operasi disambung lagi hari ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE