SEOUL – Aktres popular menerusi lakonan filem The Man from Nowhere dan The Neighbours, Kim Sae-ron ditemui mati di rumahnya hari ini, kta polis.
Pelakon berumur 24 tahun itu ditemui di kediamannya di Seongsu-dong, timur Seoul sekitar pukul 4.55 petang(waktu tempatan) oleh seorang rakan yang merancang untuk bertemu dengannya.
Rakan tersebut menelefon polis selepas gagal menghubungi Sae-ron.
“Kami tidak menemui tanda-tanda perbuatan jenayah setakat ini tetapi kami sedang menyiasat punca kematiannya,” kata seorang pegawai polis.
Sae-ron pernah ditangkap kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam tahun 2022 selepas keretanya melanggar besi penghadang jalan dan sebuah transformer. Dia didenda sebanyak 20 juta won(RM54,000).
Pada April lalu, dia cuba kembali ke dunia lakonan dengan mengambil bahagian satu pementasan tetapi susulan satu kontroversi, dia menarik diri disebabkan masalah kesihatan. –AGENSI