PETALING JAYA – Peminat rata-rata berkongsi rasa kecewa apabila melihat persembahan penyanyi, Hafiz Suip dalam Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) malam ini.
Walaupun persembahan Hafiz cukup mengagumkan dan bersahaja pada awalnya, namun dipenghujung nyanyian anak kelahiran Sarawak itu kedengaran sedikit ‘terkucil’.
Situasi itu menyebabkan rata-rata peminat yang menaruh harapan agar Hafiz memenangi Anugerah Vokal Terbaik pada malam ini punah serta merta.
“Rasanya tak dapat bawa balik trofi Anugerah Vokal Terbaik sebab terkucil bahagian terakhir tu sebab gagal kawal emosi,” kata Mimi.
“Ala, awal sedap sangat dah. Akhir-akhir pula terkucil. Sabar Hafiz,” komen Sharah.
“Permulaan dah sangat baik, kecewa pula dengar yang penghujung tu. Tak apa Hafiz anda sudah buat yang terbaik,” komen Khatijah.
Namun begitu, ramai juga para peminat yang masih berharap Hafiz tetap mendapat tempat dalam pertandingan malam ini.
“Rasa memang dia sengaja terkucil sebab bagi ruang untuk yang lain menang Vokal Terbaik, sebab Hafiz dah dapat juara AJL,” komen Shah.
“Ala terkucil tapi tahu-tahu menang vokal terbaik. Dulu pun macam tu juga. Mungkin gimik je tu,” komen Khairil.
Untuk rekod, Hafiz mengambil masa lama untuk berehat selepas memenangi Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik pada AJL34.
AJL39 malam ini bersiaran secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil bersiaran di TV3. – KOSMO! ONLINE