KUALA LUMPUR – Penyanyi yang juga hos Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), Sissy Imann membuat kejutan apabila tampil bermain piano secara terapung pada persembahan pembukaan pentas berprestij yang berlangsung di Axiata Arena malam ini.
Pada persembahan tersebut, Sissy mengiringi persembahan Ara Johari bagi lagu Tak Ada Logika.
Malah, dia turut mengiringi nyanyian trio Ara, Wani Kayrie dan Shiha Zikir dengan lagu Angkat.
Persembahan mereka menerima tepukan gemuruh khalayak dewan kerana memberikan aksi yang luar biasa.
Malam ini, 10 finalis yang akan berentap iaitu Sengaja (Amir Masdi), Puas Sudah (Aina Abdul), Saksama (Akim & The Majistret), Diam (Hael Husaini), Hening Rindu (Marsha Milan) dan Aura (Ernie Zakri).
Turut bertanding, Bukan Lagi Kita (Nadeera), Pujaanku (Kugiran Masdo & Aisyah Aziz), Risiko (Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & MK K-Clique) serta Terus Bersinar (Hafiz Suip).
Pada malam ini, Sissy mengacarakan AJL39 bersama Naz Rahman. – KOSMO! ONLINE