KUALA LUMPUR – Penyanyi Hafiz Suip tampil dengan busana sederhana iaitu hanya memakai baju-T dan selipar menerusi persembahan Terus Bersinar pada Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini.
Perkara tersebut sekali gus mengingatkan kepada persembahannya membawakan lagu Awan Nano pada AJL26 yang turut mengangkatnya sebagai juara.
Pada malam berprestij tersebut, Hafiz membawa ‘cameo’ iaitu penyanyi senior, Herman Tino ke atas pentas yang juga pernah tampil dalam video muziknya berjudul Awan Nano.
Malam ini, Hafiz turut menampilkan Herman Tino sebagai ‘cameo’ pada penghujung persembahan.
Lebih mengujakan, Hafiz turut mencipta kelainan membuka pentas malam ini dengan mendendangkan lagu Terus Bersinar sambil baring pada awal persembahan.
Ketika ini, Hafiz merupakan antara calon yang disebut-sebut bakal memenangi trofi Vokal Terbaik yang turut menerima saingan hebat daripada Aina Abdul, Ernie Zakri, Nadeera dan Marsha Milan.
Terus Bersinar merupakan hasil ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito dan Datuk Arisz Abdul Rahman. – KOSMO! ONLINE