KUALA LUMPUR – Terus membuktikan kehebatan, penyanyi Ernie Zakri menjadi penyanyi pertama yang meraih standing ovation penonton selepas mempersembahkan lagu Aura pada Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) di Axiata Arena Bukit Jalil malam ini.
Ernie atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, membuatkan seluruh dewan terpukau dengan kehebatan vokalnya selain menonjolkan bakatnya bermain keyboard.
Bukan itu sahaja, seluruh Axiata turut dihujani dengan kertas ‘confetti’ berwarna ungu sepanjang persembahan yang berkonsepkan taman bunga itu.
Persembahan hebat tersebut sekali gus meletakkan Ernie antara penyanyi yang dijangka membawa pulang trofi vokal terbaik AJL39.
Selain Ernie, pesaing terdekatnya ialah Aina Abdul, Marsha Milan, Nadeera dan Hafiz Suip.
Aura yang menceritakan tentang kekuatan serta keyakinan diri seorang wanita itu merupakan salah sebuah lagu yang dimuatkan dalam album solonya, Aura.
Karya hebat tersebut merupakan hasil ciptaan Ernie Zakri dan John Jeeves. – KOSMO! ONLINE