PETALING JAYA – Pahit yang perlu ditelan, pelakon Amyza Aznan mengesahkan anak lelakinya iaitu Andre Mikhail menghidap kanser paru-paru tahap tiga.
Berkongsi berita sedih itu sendiri, Amyza berkata keputusan kesihatan itu diterimanya selepas Andre, 19, menerima rawatan di Hospital Ampang sejak tiga minggu lalu.
“Sekarang ini anak saya didiagnos kanser paru-paru tahap tiga.
“Air dalam paru-paru sudah masuk ke bahagian jantung. Paru-paru sebelah kanan sudah tidak berfungsi,” katanya dalam satu hantaran Instagram semalam.
Dalam pada itu, Amyza memberitahu Andre kekal tenang menerima dugaan yang berlaku meski sedang berdepan dengan penyakit tersebut.
Andre juga ketika ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut bagi pemantuan dan menjalani prosedur yang tidak dinyatakan secara terperinci.
“Ketika ditolak ke ICU untuk menjalaani prosedur, dia sangat tenang, mata yang tenang.
“Semua jururawat juga cakap dia sangat kuat.
“Saya merayu tumpangkan doa dari semua untuk keajaiban kesembuhan anak soleh saya,” katanya lagi.
Bintang drama Bawah Payung Awan itu turut memuat naik video sedang mengisi borang menyatakan pemberitahuan pesakit tenat selain menandatangani surat kebenaran menjalani prosedur atau pembedahan terttentu.
Andre sebelum ini dimasukkan ke Hospital Ampang sebelum doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan di bahagian paru-parunya.
Pada ketika itu, dia perlu menunggu keputusan ujian sampel yang dilakukan pihak hospital bagi mengetahui penyakit sebenar. – KOSMO! ONLINE