KUALA LUMPUR – Persembahan memukau penyanyi Aina Abdul menerusi lagu Puas Sudah pada Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) mencetuskan fenomena luar biasa, memahat detik bersejarah di Axiata Arena, malam tadi.
Bukan sahaja vokal yang menggegarkan ruang stadium, malah busana avant-garde berkonsepkan degupan jantung dengan rona merah menjadikan Aina bintang menyerlah sebagai ‘trendsetter’ sejati yang tidak pernah kering idea.
Lagu Puas Sudah, ciptaan sepenuhnya Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, membawa jiwa dan emosi yang mendalam.
Vokalnya yang persis penyanyi antarabangsa terus mengundang tepukan berdiri serta sorakan gemuruh penonton.
Lebih manis, Aina turut memenangi trofi Anugerah Pilihan Unifi Mobile, membuktikan sokongan peminat terhadapnya tidak berbelah bahagi.
Rata-rata netizen dalam media sosial sudah mula membuat prediksi bahawa Aina bakal mengulangi kejayaan bergelar juara Anugerah Juara Lagu, selepas merangkul gelaran sama pada AJL37 dengan lagu Terus Hidup.
“Trendsetter, mega! Dia penyanyi yang betul-betul lengkap pakej! Vokal, persembahan, pakaian, semua luar biasa,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Setiap tahun Aina tak pernah mengecewakan. Harap dia terus menang AJL39!” tambah seorang lagi peminat.
Terdahulu, Aina mencipta rekod luar biasa apabila memenangi Vokal Terbaik selama tiga tahun berturut-turut pada AJL36, AJL37 dan AJL38. – KOSMO! ONLINE