KUALA TERENGGANU – Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang mengambil inisiatif memberi hadiah kepada 30 murid terawal yang hadir pada hari pertama persekolahan hari ini.
Guru Besar SK Ladang, Razmannazri Mat Shah berkata, hadiah alat tulis berkenaan sebagai motivasi kepada murid sekolah tersebut untuk datang awal ke sekolah.
“Ramai murid teruja hadir awal mulai pukul 6 pagi pada hari pertama sesi persekolahan hari ini.
“Saya berharap motivasi ini dapat dikekalkan agar mereka hadir awal ke sekolah setiap hari,” katanya ketika ditemui di SK Ladang di sini hari ini.
Sementara itu, tiga beradik antara 30 murid sekolah itu yang menerima hadiah kehadiran awal ke sekolah terbabit.
Muhammad Aqif Rayyan Azlan, 12 berkata, dia bersama dua adiknya iaitu Awatif Nur Adawiyah, 11 dan Awfiyah Nur Umairah, 9, teruja dan ceria menerima hadiah terbabit.
“Saya dan adik-adik bangun seawal pukul 5 pagi dan tiba di sekolah pada pukul 6.30 pagi setelah lima minit berjalan kaki ke sekolah selepas menunaikan solat subuh.
“Kami sepakat mengunci jam loceng untuk bangun awal pagi ini (semalam) setelah ibu (Norhaspida Yatim, 39) memberitahu tentang hadiah tersebut pada dua hari lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE