fbpx

‘Ya Allah janganlah tarik nyawa aku, aku tak sedia lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKONm Zamarul Hisyam ambil iktibar daripada pengalaman berdepan detik cemas sehingga lapan berada dalam wad hospital baru-baru ini,

PETALING JAYA – Lapan hari ‘berkampung’ dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat sesak nafas, pelakon Zamarul Hisham hanya terbayang mengenai kematian ketika dibawa ambulan ke hospital.

Zamarul atau nama lengkapnya Zamarul Hisham Mohamed, 54, berkata insiden mengejut itu disifatkan amat menakutkan terutama apabila terkenangkan anak-anak yang masih kecil.

“Waktu saya diusung ke hospital saya cakap, ‘Ya Allah janganlah tarik nyawa aku sekarang sebab banyak yang aku tak sedia lagi’.

“Saya dah mula terbayangkan anak di hotel, takkanlah nak tinggalkan mereka di sini sampaikan saya menangis. Tapi saya kena kuat.

“Saya berdoa, ‘Ya Allah jika kau berikan sakit ini sebagai tanda untuk aku jadi lebih baik, aku reda tapi berilah aku peluang untuk tengok anak-anak aku membesar,” katanya ketika diwawancara di program Melodi, malam tadi.

Menurut bapa kepada lima anak itu, ketika insiden hampir rebah di set penggambaran sebuah drama di Port Dickson pada 6 Februari lalu tekanan darahnya naik mendadak.

Tidak pernah melalui situasi sedemikian membuatkan Zamarul kini mula berhati-hati sekali gus beringat agar tidak lalai.

“Memang betul, masa kejadian tekanan darah saya naik sampai 200 lebih dan perkara itu sememangnya tak pernah berlaku kepada saya.

“Sebagai artis, kita tak lari daripada buat silap, leka dan lalai. Jadi saya nak jadi lebih baik dari yang sebelum ini,” ujarnya.

Pada masa sama dia bersyukur dikurniakan isteri, Diana Rafar yang kuat semangat sepanjang melalui situasi sukar itu.

“Saya bersyukur kerana mempunyai isteri yang sangat bertungkus-lumus menjaga saya ketika sakit.

“Sewaktu dalam ICU apabila saya tengok wajah dia, ‘Adakah ini kali terakhir aku akan berjumpa dengan isteri aku ini?’ katanya.

Aktor versatil itu turut menyifatkan sakit yang menyerang secara tiba-tiba itu sebagai teguran Allah.

“Ramai yang tanya apa yang saya rasa? Saya rasakan ini adalah teguran. Tahun ini saya jalani umrah dan apabila balik saya rasakan banyak perubahan dalam hidup.

“Kemudian saya pergi umrah kali kedua dan balik saja, saya rasa macam tak cukup. Setiap kali solat, saya minta Allah berikan saya hidayah jadikan saya lebih baik sebab umur pun dah masuk 50.

“Alhamdulillah kemudian rezeki datang mencurah-curah dan dari situ mungkin saya diduga.  Apa yang saya ada, Tuhan bagi tapi kau (Zamarul) tak rehat sebenarnya,” kongsinya.

Pelakon drama Langit Ke Tujuh itu juga tidak ketinggalan menitipkan pesanan buat pelakon lain supaya menjaga kesihatan walau sibuk memenuhi jadual penggambaran.

Terdahulu Zamarul dimasukkan ke ICU Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 2 pagi akibat sesak nafas ketika di lokasi penggambaran.

Kemudian dia dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Sunway untuk rawatan lanjut dan kini berehat di rumah sebelum menjalani pemeriksaan susulan minggu depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI