PETALING JAYA – Seorang pemandu Perodua Axia dikatakan memandu mengelilingi Bulatan Mahkota di Kluang, Johor beratus kali bermula dari pagi hingga malam.
Kejadian itu tular di media sosial menerusi video yang memaparkan kereta Perodua Axia berwarna putih dipandu mengelilingi bulatan tersebut dengan lampu isyarat kecemasan turut dinyalakan.
Dalam video itu juga, kelihatan kenderaan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang berada di lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.
Menerusi ruangan komen, ramai tertanya-tanya perbuatan pemandu Perodua Axia tersebut mengelilingi Bulatan Mahkota, selain ada yang bersimpati sekiranya pemandu itu berdepan masalah.
“Siapa lah yang perasan kereta tu berpusing di situ. Peka betul keadaan sekeliling,” kata seorang pengguna TikTok memuji pengguna lain yang menyedari perbuatan pemandu Axia berkenaan.
“Terlalu tertekan dalam masalah, sampaikan tidak ada hala tuju dan tak mampu buat keputusan. Siapa pernah lalui sahaja tahu macam mana,” komen seorang pengguna TikTok.
“Semoga baik-baik sahaja untuk driver tu. Kita tak ada kat tempat dia. Kita jangan hukum dia, dia perlukan bantuan,” kata seorang lagi pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE
@kluangharilni Kejadian Sebuah Kereta Axia Berpusing Di Bulatan Mahkota Beratus Kali, Dari Pagi Hingga Malam. Pihak Polis Dari IPD Kluang Telah Berjaya Menghentikan Kereta Tersebut. Punca Kejadian Masih Belum Diketahui. #InfoKluang #KHi ♬ original sound – Kluang Hari Ini 🔴🔵