PETALING JAYA – Semua bakal haji diwajibkan menerima suntikan vaksin Meningococcal, manakala vaksin Covid-19 dan influenza pula diwajibkan kepada kumpulan sasar tertentu, selaras dengan ketetapan Kerajaan Arab Saudi.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, bakal haji berumur 65 tahun ke atas serta individu yang dikategorikan berisiko tinggi semasa pemeriksaan kesihatan perlu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dan influenza sebelum menunaikan ibadah haji.
Menurut KKM, suntikan vaksin Covid-19 boleh diperoleh secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan terpilih berdasarkan janji temu yang dibuat melalui aplikasi MySejahtera bermula semalam, manakala suntikan bermula pada 17 Februari ini.
“Bagi memastikan kelancaran program, senarai 247 klinik kesihatan telah dikenal pasti di seluruh negara boleh diakses melalui aplikasi MySejahtera atau laman rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my,” kata kenyataan itu hari ini.
Selain itu, bakal haji yang bukan dalam kumpulan sasar boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara sukarela di fasiliti kesihatan berkaitan setelah mendapat konsultasi daripada pegawai perubatan.
Sementara itu KKM berkata, bakal haji berumur 65 tahun ke atas serta individu berisiko tinggi perlu mendapatkan suntikan vaksin influenza di fasiliti swasta yang tersenarai dalam aplikasi MySejahtera atau mana-mana fasiliti swasta yang boleh memuat naik Sijil Digital Vaksinasi ke dalam aplikasi tersebut.
“Selaras dengan Program Imunisasi Influenza Kebangsaan, bakal haji warganegara berumur 60 tahun ke atas yang menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan terpilih.
“Janji temu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera bermula semalam, dengan tarikh janji temu akan diberikan bermula 18 Februari ini,” ujarnya.
KKM memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan TH bagi memastikan pelaksanaan Perkhidmatan Vaksinasi Bakal Haji 1446H/2025M berjalan dengan lancar.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada KKM atau TH menerusi saluran rasmi. – KOSMO! ONLINE