WASHINGTON – Sebuah struktur misteri ditemui oleh seorang pengguna aplikasi Peta Google (Google Maps) di kawasan pergunungan negeri New Mexico, Amerika Syarikat (AS), lapor portal berita MailOnline semalam.
Pengguna itu melihat sebuah cakera besar berwarna putih mirip objek terbang tidak dikenali (UFO) terjulur keluar dari tanah pada ketinggian 2,255 meter.
Lokasi itu terletak kira-kira 55 kilometer dari Kawasan Perlindungan Nasional Sevilleta di La Joay, tanpa jalan yang jelas atau rumah berdekatan.
“Sesuatu dalam bentuk cakera yang ‘tertanam’ di kawasan pergunungan New Mexico pada ketinggian 2,255 meter,” kata pengguna itu, Steph Kent yang berkongsi imej tersebut di platform X.
Netizen membuat spekulasi bahawa ia mungkin UFO yang telah ‘bersarang’ di kawasan pergunungan itu berabad-abad lamanya.
Sebilangan netizen pula berkata, mereka melihat tingkap, fiuslaj dan litar elektrik pada objek itu. – AGENSI