KAJANG – Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan dua beradik yang dilaporkan hilang dari sebuah kediaman di Taman Harmoni 5, Seri Kembangan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusuf berkata, polis menerima laporan pada pukul 2.48 pagi semalam daripada ibu kanak-kanak tersebut.
Menurutnya, dua kanak-kanak itu Nur Syafiqah Elliana Muhammad Rizuan Sebastian, 15 dan Muhammad Adam Mikhail, 10 dipercayai hilang sekitar pukul 8.10 malam.
“Pohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan orang hilang untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan.
“Atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222, atau Pegawai Penyiasat Sarjan Karunagaran Balan (012-2449414),” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE