BALIK PULAU – Tiga pekerja cedera dalam insiden letupan gas di sebuah kilang di Zon Perdagangan Bebas Fasa 3, Bayan Lepas di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.16 tengah hari.
“Letupan dipercayai berpunca daripada silinder FM 200 dalam kilang berkenaan. Kejadian itu tidak mengakibatkan kebakaran. Pasukan bomba melakukan kerja-kerja pemantauan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan.
“Tiga mangsa mengalami kecederaan ialah Ibrahim Shaffie, 49, patah kaki kanan, manakala dua lagi mangsa, Mohamad Nasrin Harun, 38, dan Mohd Radzi Othman, 40, cedera ringan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE