LUMUT – Walaupun dua kali kalah dalam pilihan raya umum (PRU) di Parlimen Lumut, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ingin terus berbakti di kawasan tersebut.
Beliau merupakan anak jati Pulau Pangkor yang berada dalam Parlimen Lumut, dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor dari 2004 hingga 2022, termasuk sebagai Menteri Besar Perak dari 2009 hingga 2018.
“Walaupun sudah tidak menjadi wakil rakyat tetapi oleh kerana saya adalah anak Pangkor, tentunya saya akan pulang dari masa ke semasa,” katanya semasa menghadiri majlis peluncuran Projek Program Pemindahan Ilmu (KTP), Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat Madani Pangkor, di sini hari ini.
Program itu dianjurkan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan menjemput Zambry sebagai perasmi selaku Menteri Pendidikan Tinggi.
Semasa PRU 2018, Zambry tewas di Parlimen Lumut kepada wakil parti Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli dan kecundang buat kali kedua semasa PRU 2022 kepada calon Bersatu, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail.
Katanya, ada pihak yang mempertikaikan mengapa beliau masih diberikan jawatan walaupun kalah selain ada yang tertanya mengapa dirinya ingin pulang ke kawasan Parlimen Lumut dan Pangkor setelah ditolak pengundi.
“Kita merancang, tuhan pun merancang. Saya diberi tanggungjawab dalam Kabinet. Apapun paling mustahak adalah kita memberi yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE