fbpx

Taman Emas Malaysia berpotensi jadi hab industri emas negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEM yang terletak di Bazar Tuan Padang, Kota Bharu . FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

KOTA BHARU – Taman Emas Malaysia (TEM) di Bazar Tuan Padang di sini berpotensi menjadi satu hab dalam mempromosikan pelbagai aspek dalam industri emas di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Empayar Iman Sdn. Bhd. (Empayar Iman) yang menguruskan TEM, Zulna Hashim berkata, TEM yang dibuka pada Julai lalu menjadi satu lokasi yang boleh dikunjungi oleh semua golongan yang berminat terhadap barangan kemas.

Menurutnya, sebanyak 22 unit kedai emas yang siap diubah suai disediakan untuk peniaga berniaga di kawasan yang selesa.

“Selain persekitaran jualan yang kondusif, kita juga memasang sebanyak 54 buah televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan TEM sebagai langkah keselamatan kepada semua pihak.

“Selain daripada pameran dan jualan, pengajian seni kraf emas menerusi Akademi Emas Malaysia yang pertama di negara ini turut disediakan.

“Akademi itu mendapat pengiktirafan Jabatan Pembangunan Kemahiran yang berstandard Kod Amalan Akreditasi Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) (COPTPA),” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran TEM di Bazar Tuan Padang di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi TEM dan Akademi Emas Malaysia, Zulkifli Idris.

Mengulas lanjut, Zulna memberitahu, pihaknya sedang dalam proses mengambil pelajar untuk program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) seni kraf emas tahap dua dan tiga selama 14 bulan menerusi Akademi Emas Malaysia pada 15 Januari lalu.

Menurutnya, buat masa ini, seramai 30 pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf sudah menyertai program jangka masa pendek seni kraf emas Akademi Emas Malaysia selama tujuh hari.

“TEM bukan hanya fokus kepada jualan emas semata-mata. Kita mahu mewujudkan satu hab yang lengkap dalam ekosistem industri emas bermula daripada peringkat pendidikan kemahiran, ilmu, perniagaan dan pemasaran.

“Kita mahu TEM ini menjadi satu pihak yang saling melengkapi dan membantu untuk menaikkan industri emas di negara ini khususnya Kelantan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI