fbpx

‘Suspek jerit tidak takut polis, datanglah berapa orang dia akan bunuh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Aqif Zamri menunjukkan rumah suspek yang mengamuk dan menetak beberapa anggota polis yang cuba menenangkannya di Taman Seri Astana di sini.

SUNGAI PETANI – Kejadian amuk seorang bekas guru agama di Taman Seri Astana di sini yang menyebabkan beberapa anggota polis cedera akibat ditetak parang petang semalam menggemparkan penduduk kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Mohd Soyuti Abdullah, 50 berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di hadapan rumah dan terdengar suara seperti orang bergaduh sebelum melihat dua anggota polis berpakaian preman dikejar seorang lelaki bersenjatakan dua bilah parang panjang.

“Saya terkejut apabila lelaki berkenaan dilihat agresif selain menjerit dia tidak takut polis dan datanglah berapa orang pun dia akan bunuh mereka menyebabkan saya bergegas menyembunyikan diri di bahagian ruang parkir.

“Lelaki itu dilihat melibas parang dan terkena seorang anggota polis. Dia kemudian masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu,” katanya yang merupakan guru sebuah sekolah di Pulau Pinang.

Mohd Soyuti berkata, dia dibantu penduduk lain memberi rawatan awal kepada dua anggota polis yang cedera terbabit sebelum menghantar mereka ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH)

Mohd. Aqif Zamri, 26, yang juga jiran suspek berkata, dia tidak menyangka suspek boleh bertindak ganas kerana lelaki itu seorang yang pendiam dan banyak menghabiskan masa dalam rumah serta tidak bercampur dengan jiran.

“Penduduk tidak tahu suspek mengalami masalah mental kerana selama mendiami rumah itu bersama ibu bapanya sejak hampir setahun lalu, mereka lebih banyak menyendiri. Hanya selepas kejadian itu baru kami tahu dia mengamuk dipercayai kerana telah lama tidak makan ubat akibat penyakit mental,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Saqif Zamri, 26, berkata, dia berasa terkejut apabila mendapati kawasan rumahnya yang terletak bersebelahan rumah suspek dipenuhi anggota polis semasa pulang dari bekerja petang semalam.

“Memang kejadian itu amat menakutkan, tambahan lagi kami mendengar beberapa das bunyi tembakan namun bersyukur kerana tindakan pihak berkuasa termasuk bomba menyembur air berjaya menahan lelaki itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI