KUANTAN – Suspek kes bunuh seorang peniaga wanita di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 53 tahun itu dikeluarkan Majistret Nor Izzati Zakaria kira-kira pukul 2 petang tadi.
Permohonan reman dikemukakan pihak polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek hadir ke mahkamah dengan diiringi polis dengan mengenakan baju kemeja T bertulisan ‘sunset to sunrise’ dan berkain pelekat.
Sebelum itu, penganggur dari Terengganu tersebut ditahan sepasukan polis kira-kira pukul 5.30 pagi tadi di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang peniaga yang dilaporkan hilang pada Rabu lalu dibunuh sebelum mayatnya ditemukan di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini semalam.
Mangsa, Norshamira Zainal,37, yang menjalankan urus niaga hantaran tunai atau ‘cash on delivery’ (COD) makanan dipercayai dipukul dengan objek keras sebelum mayat mangsa diletakkan di tepi Sungai Kuantan.
Mayat mangsa dijumpai sekumpulan lelaki termasuk suami dan bapa mentuanya yang datang ke lokasi tersebut untuk mencari wanita tersebut.
Siasatan mendapati barangan kemas milik mangsa hilang dipercayai disamun. – KOSMO! ONLINE