ARAU – Empat sahabat termasuk pasangan suami isteri ditahan polis selepas dipercayai terlibat aktif dalam kegiatan pecah rumah di sekitar kawasan Arau dan Kangar.
Menerusi penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan 13 kes pecah rumah yang dilaporkan di dua kawasan berkenaan sebelum ini membabitkan nilai kerugian berjumlah RM33,100.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, menerusi Ops Pintu yang dilaksanakan sebelum ini, pihaknya telah membuat tangkapan ke atas pasangan suami isteri warga tempatan masing-masing berusia 23 dan 26 tahun pada Sabtu lalu sekitar pukul 1.30 tengah hari.
“Tangkapan itu dibuat selepas pihak kami melakukan intipan dan pemantauan lebih satu minggu ke atas pasangan suspek terlibat,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Susulan penahanan itu, Ahmad Mohsin berkata, pihaknya turut memberkas dua lagi suspek lelaki warga tempatan masing-masing berusia 28 dan 23 tahun yang dipercayai terlibat sama dalam kegiatan tersebut.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa barangan yang dipercayai berkaitan dengan kes pecah rumah berkenaan.
“Antara barangan dirampas adalah dua tong gas, mesin rumput, dua pam air, sebilah pisau, satu set spanar, enam kipas siling dan kereta,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Mohsin berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek utama kes itu didapati positif dadah jenis methaphetamine.
Katanya, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menyasarkan rumah secara rawak di samping melihat peluang yang ada bagi melakukan kegiatan pecah rumah tersebut.
“Selain pecah rumah, suspek juga dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan di dewan orang ramai memandangkan mereka sentiasa melihat peluang yang ada.
“Semua suspek direman bermula 9 Februari sehingga hari ini dan selepas ini, mereka akan diserahkan ke IPD Kangar untuk siasatan kes di sana pula,” katanya. – KOSMO! ONLINE