SKUAD renang negara kini dalam misi lonjakan prestasi menjelang Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand pada Disember depan dengan tumpuan utama untuk memperbaiki pencapaian pingat berbanding edisi lalu.
Ketua jurulatih, Eric Anderson optimis terhadap potensi anak-anak buahnya yang bakal menghadapi tiga kejohanan utama sepanjang musim ini iaitu Terbuka Malaysia bulan delan, Sukan Universiti Dunia dan Kejohanan Dunia pada Julai, serta kemuncaknya di Sukan SEA nanti.
“Kami mempunyai banyak kejohanan penting tahun ini. Fokus kami adalah memastikan atlet berada pada prestasi terbaik di setiap kejohanan, terutama di Sukan SEA. Sasaran utama adalah untuk meningkatkan jumlah pingat berbanding edisi lalu,” katanya.
Skuad renang turut menampilkan beberapa bintang muda yang semakin mencuri tumpuan dan dijangka membawa cabaran negara di Kejohanan Renang Remaja Dunia pada Ogos depan.
“Kami ada ramai perenang muda berbakat besar yang kini semakin menyerlah. Antaranya Dhuha, Chong Xin Lin dan Goh Li Jie. Mereka bakal menjadi pelapis utama dalam skuad negara,” tambah Anderson.
Ketika ini, skuad renang negara berada di Australia bagi menyertai Terbuka Victoria berlangsung dari 14 hingga 16 Februari ini dengan ia dijadikan medan ujian penting untuk menilai prestasi atlet sebelum menghadapi kejohanan lebih besar.
Menurut Anderson, matlamat utama pasukan untuk memastikan setiap perenang mampu bersaing di peringkat dunia dengan kemahiran taktikal dan teknikal yang setanding negara-negara gergasi sukan tersebut.
“Kami mahu memastikan Malaysia menjadi pasukan paling bersedia dan berlatih dengan baik di Sukan SEA nanti. Setiap aspek dari segi teknik dan taktikal akan terus diberi perhatian bagi memastikan atlet mencapai prestasi tertinggi,” ujarnya.
Dengan perancangan teliti serta barisan pelapis berbakat, skuad renang negara berada di landasan tepat untuk mencipta kejayaan dan mencabar kedudukan terbaik di rantau ini.