fbpx

Sewa rumah teres jadikan ‘stor’ dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Chin (kiri) ketika sesi sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah menerusi operasi di sekitar Lembah Klang pada 11 Februari lepas, melibatkan nilai rampasan RM23.67 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata dalam operasi sekitar pukul 11.20 pagi tersebut, polis telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah teres di bandar Sri Damansara di sini dan berjaya menangkap tiga lelaki Cina masing-masing berusia 41 hingga 58 tahun.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menemui dua bungkusan plastik teh Cina disyaki dadah jenis syabu dan ketamin di dalam bilik kedua rumah tersebut.

“Seterusnya dengan menggunakan kunci kawalan jauh kereta yang dirampas daripada suspek berusia 58 tahun yang juga penjaga ‘stor’, pasukan serbuan telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Hyundai Starex yang berada dalam kawasan pagar rumah.

“Hasil pemeriksaan di bahagian tempat duduk penumpang belakang, polis menjumpai 12 guni putih berisi 280 bungkusan teh Cina mengandungi serbuk dan ketulan disyaki ketamin dan 15 bungkusan ten Cina disyaki mengandungi syabu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan di bahagian bonet belakang kereta terbabit, polis menjumpai 13 guni putih berisi 260 bungkusan teh Cina mengandungi serbuk dan ketulan disyaki syabu.

“Jumlah keseluruhan anggaran berat dadah yang dirampas adalah syabu (287.27 kilogram (kg)) dan ketamin (289.45kg) yang dianggarkan boleh digunakan oleh 2.4 juta penagih dadah.

“Polis turut menyita sebuah kereta jenis Mercedes Benz E240, sebuah kereta jenis aBmw 523i, sebuah Honda City, wang tunai RM23,000 serta seutas jam tangan mewah jenama Rolex dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan RM23.81 juta,” jelasnya.

Kok Chin berkata, sindiket pengedaran dadah yang dikesan aktif sejak Disember 2023 mengambil barang terlarang itu dari negara seberang melalui utara Semenanjung dan kemudian akan diedarkan untuk pasaran tempatan serta luar negara termasuk Indonesia.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 12 Februari hingga 18 Februari ini bagi membantu siasatan.

“Ujian saringan awal air kencing dapati kesemua suspek negatif dadah dan semakan rekod lampau hanya seorang sahaja iaitu lelaki 58 tahun memiliki satu rekod jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI