PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada ahli keluarga bekas wartawan Kumpulan Utusan, Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar, 46, yang meninggal dunia hari ini.
Menurut beliau, berita pemergian Allahyarham Muhammad Basir yang merupakan bekas pengamal media dan penerima pertama bantuan Tabung Kasih@HAWANA sesuatu yang mendukacitakan.
“Saya pernah menziarahi Allahyarham serta keluarga di kediaman mereka pada 14 April 2023 sempena program sulung Kasih@HAWANA.
“Allahyarham yang merupakan bekas wartawan Utusan Malaysia meninggalkan tiga orang anak.
Isteri Allahyarham, Noor Azlina Jaafar adalah bekas jurufoto Kumpulan Utusan. Beliau telah meninggal dunia pada Oktober 2023.
“Saya memanjatkan doa kepada Allah S.W.T agar kurniakan ketabahan serta kekuatan terhadap anak-anak mereka yang kini berusia 15, 13 dan 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Muhammad Basir yang juga pemenang Hadiah Kewartawanan 2005 (Institut Akhbar Malaysia) meninggal dunia di Hospital Serdang hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh anak saudara beliau dikenali sebagai Wanie Mat Noor menerusi akaun Facebook malam ini.
Difahamkan, beliau mengalami masalah jantung dan disahkan mengalami beberapa komplikasi lain termasuk hati dan buah pinggang.
Allahyarham pernah bertugas di akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia sebelum syarikat Utusan Melayu Bhd ditutup pada 9 Oktober 2019. – KOSMO! ONLINE