SUNGGUH rezeki Allah tidak pernah salah alamat. Lambat atau cepat semuanya tergantung atas percaturan Ilahi.
“Saya ingin mati di Mekah.” Itu harapan penyanyi era 1990-an, Alina Hassan yang sekali lagi menerima undangan menjadi tetamu Allah mengerjakan ibadah umrah selama sebulan hujung Februari ini.
Penyanyi berusia 57 tahun itu tidak menyangka dihadirkan seorang hamba Allah yang sudi menaja ibadah umrahnya tahun ini biarpun baru sahaja menunaikan umrah pada bulan Ramadan tahun lalu.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah. Saya tertanya-tanya apa kebaikan yang saya pernah buat sampai sekali lagi Allah jemput saya ke rumah-Nya. Kita bukanlah orang yang baik. Tak tahu kebaikan yang mana Allah pilih.
“Tetapi rezeki ini hadir menerusi seorang hamba Allah yang menonton persembahan nyanyian saya dalam aplikasi TikTok.
“Hamba Allah tersebut mesej tanya sama ada saya ingin menunaikan umrah sempena Ramadan ini. “Sudah tentu menjadi impian setiap orang yang pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci mahu kembali semula ke sana,” katanya kepada HibGlam.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/ALINA-HASSAN-4.jpg)
Sehingga hari ini, Alina bagaimanapun masih belum sempat bersua dengan insan berhati mulia itu. Dia merancang bertemu empat mata sebagai tanda terima kasih sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Bercerita mengenai pengalamannya mengerjakan umrah selama 50 hari tahun lalu juga atas tajaan sebuah syarikat umrah, kata Alina, banyak perkara menyentuh hatinya tatkala berada di sana.
“Terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepada saya tetapi apa yang paling menyentuh hati apabila ada satu hari saya sedang duduk makan. Di sebelah saya ada seorang wanita berbangsa Arab sedang menyuap anaknya.
“Tiba-tiba wanita itu menyuap saya makanan. Saya rasa sungguh terharu sehingga mengalirkan air mata. Biarpun kami tidak saling mengenali, tetapi ada insan yang berhati mulia sudi menyuapkan saya makanan.
“Saya tertanya-tanya juga apakah sebab wanita tersebut menyuapkan saya makanan? Adakah dia kasihan melihat wajah saya. Tetapi kata orang jangan terlalu banyak soal apabila berada di Tanah suci. Hanya berdoa agar dipermudahkan segala urusan,” kongsinya.
Ditanya apakah doa yang dipohonnya, bekas Juara Sinaran Passport Kegemilangan 1996 mengakui hanya banyak berdoa untuk anak-anak.
“Saya ada empat anak. Yang sulung sudah meninggal dunia. Ada yang masih belajar di universiti dan ada yang autisme. Saya berdoa agar Allah melindungi anak-anak saya. Macam-macam perkara buruk yang terjadi dalam dunia ketika ini yang merisaukan saya sebagai seorang ibu.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/ALINA-HASSAN-3.jpg)
“Untuk diri sendiri saya hanya minta Allah berikan kesihatan yang baik agar boleh terus mencari rezeki tanpa perlu meminta-minta kepada orang lain. Itu sudah memadai,” jelasnya.
Sengaja penulis mengusiknya dengan soalan, tiadakah doa untuk bertemu jodoh? Lantas soalan itu disambut dengan tawa besar.
“Akak dah tua dik. Lagi dua tahun nak masuk umur 60. Sekarang, keutamaan saya adalah anak-anak walaupun mereka tinggal dengan bekas suami di Terengganu.
“Bukan tidak ada lelaki yang cuba mendekati. Tetapi saya rasa mereka sekadar ingin mengambil kesempatan. Ada ke lelaki yang sanggup terima ibu tunggal seperti saya yang ada anak austisme.
“Pernah juga satu ketika dahulu saya berdoa agar Allah hadirkan seseorang yang boleh membimbing saya dan anak-anak kerana tidak mahu nyawa saya diambil sewaktu saya berseorangan.
“Kalau Allah beri jodoh saya terima dengan hati terbuka. Siapalah saya hendak menolak qada dan qadar. Kalau boleh biarlah yang kacak macam Fattah Amin,” katanya berseloroh.
Beralih soal kerjaya seni, selepas gagal menembusi Top 20 One In A Million (OIAM) baru-baru ini, Alina kembali menjadi penyanyi di Kafe Scottage yang terletak di Wangsa Maju.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/ALINA-HASSAN-5.jpg)
“Alhamdulillah saya telah menyanyi di Kafe ini sejak 2021. Pemilik premis berikan saya token setiap bulan dan diberikan tip oleh pelanggan yang hadir.
“Saya juga aktif menyanyi setiap hari dalam TikTok. Dapat juga buat duit belanja untuk ke Tanah Suci nanti. Ada dapat sekitar RM30 hingga RM40 sehari. Biarpun tidak banyak tetapi sentiasa cukup untuk saya.
“Ada juga komposer yang datang makan di sini tawarkan diri buat lagu. Namun, saya tolak secara baik. Lebih baik lagu tersebutkan diberikan kepada penyanyi yang lebih layak. Saya bukanlah sesiapa dalam industri ini,” katanya merendah diri.
Ditanya adakah masih terselit kekecewaan apabila gagal mara ke peringkat Top 20 OIAM, kata bekas peserta Mentor Otai itu akui agak sedih tetapi sedar saingannya bukan calang-calang.
“Sudah tentu saya ada perasaan sedih. Saya hanyalah manusia biasa. Tetapi saya akur dengan keputusan juri. Yang terpilih semuanya hebat.
“Saya tidak pernah serik atau putus asa untuk sertai pertandingan nyanyian lagi. Kalau boleh saya berharap dapat sertai Gegar Vaganza. Itu impian saya,” katanya mengakhiri perbualan.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/ALINA-HASSAN.jpg)