PETALING JAYA – Skuad Selangor FC meletakkan sebelah tangan untuk menjulang trofi Piala Cabaran selepas menewaskan PDRM FC 3-2 pada aksi final pertama di Stadium MB Petaling Jaya sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, pengendali Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi meletakkan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan dibarisi Ali Aolwan, Yohandry Orozco, Alvin Fortes dan Roni Fernandez.
Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi penyudah Fortes yang bijak memanfaatkan hantaran Fernandez pada minit ke-4.
Namun, nasib malang menimpa tuan rumah selepas kapten, Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah pada minit ke-11 sekali gus menyaksikan Selangor terpaksa bermain dengan 10 pemain sepanjang lebih baki 80 minit perlawanan.
Situasi itu tidak merentapkan semangat skuad Merah Kuning apabila menggandakan kelebihan apabila Fortes meledak gol kedua peribadi pada minit ke-18.
Tersentak dengan jaringan tersebut, The Cops memperkemaskan jentera serangan dan berjaya merapatkan kedudukan hasil penyudah menarik Shahrel Fikri pada minit ke-27.
Skuad kendalian P. Maniam memastikan kedudukan terikat 2-2 sebelum wisel babak pertama ditiupkan selepas Badrul Affendy menjaring gol penyamaan berselang 12 minit kemudian.
Bersambung pada babak kedua, Olwan muncul wira Selangor FC selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-51 sekali gus menyaksikan keputusan 3-2 kekal sehingga wisel penamat.
Perlawanan final kedua Piala Cabaran dijadualkan berlangsung pada 22 Februari depan di Stadium MP Selayang.
Piala Cabaran telah diperkenalkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sejak 2018 dengan Terengganu FC II (TFC II) bergelar juara pada edisi sulung disusuli Johor Darul Ta’zim II (2019) dan PDRM FC pada musim 2023. – KOSMO! ONLINE