LONDON – Sebuah pesawat peribadi berharga £61 juta (RM340 juta) milik bintang bola sepak Portugal, Christiano Ronaldo mendarat di Lapangan Terbang Manchester, Britain, lapor portal berita The Mirror semalam.
Bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu membeli pesawat Bombardier Global Express 6500, tahun lepas.
Pesawatdengan warna serba gelap itu dilengkapi tempat duduk mewah lengkap dengan meja dan sofa, suite dan ruang pancuran mandian berasingan.
Ia disesuaikan dengan logo CR7 yang sinonim dengan dirinya pada bahagian depan pesawat.
Lapangan terbang itu berkongsi video pesawat itu yang kemudian tular di internet.
Seorang jurucakap mengesahkan bahawa jet itu berada di lapangan terbang.
Tidak jelas sama ada Ronaldo yang bermain pada malam Khamis lalu untuk pasukan Liga Pro Arab Saudi, Al-Nassr, berada di Manchester dengan menaiki pesawat itu.
Ronaldo tidak mungkin berada di Manchester kerana dia akan beraksi di Arab Saudi pada malam Isnin ini. – AGENSI