KONGRES pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) penggal 2025-2029 dijangka berlangsung ‘kurang panas’ dengan ‘kabinet’ barisan kepemimpinan baharu badan induk itu bakal ditentukan secara rasmi hari ini.
Tiada elemen kejutan apabila dua jawatan tertinggi FAM tidak akan dipertandingkan selepas Datuk Joehari Mohd Ayub menjadi calon tunggal bagi kerusi presiden, manakala Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram kekal menjadi timbalan presiden.
Namun, debaran masih dirasai apabila tumpuan sudah kini terarah kepada empat kerusi naib presiden FAM dengan lima calon tersenarai untuk merebut kekosongan yang disediakan untuk posisi berkenaan di badan induk bola sepak negara itu.
Legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh bakal merebut jawatan naib presiden yang mana bekas pengendali Harimau Malaya itu akan bersaing dengan penyandang, Datuk Seri Rosmadi Ismail, N. Saaran, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Syed Yazid Syed Omar.
Dollah sebelum ini meletakkan kepercayaan kepada ahli gabungan untuk membuat pilihan dan bersedia untuk mencurahkan pengalaman serta ilmu bola sepak negara andai terpilih nanti.
“Jika dipilih, saya bagi apa yang saya ada untuk membantu dan kalau tidak (terpilih), mungkin itu bukan rezeki saya. Kita serahkan kepada ahli gabungan untuk buat pilihan,” kata Dollah.
Sementara itu, Rosmadi mengakui statusnya selaku penyandang tidak beri kelebihan besar selain tetap menghormati pengalaman calon-calon naib presiden yang lain.
“Semua calon pastinya ada pengalaman tersendiri kerana ada juga bekas pemain. Andai kata dapat kekalkan jawatan, saya pun belum tahu apa tanggungjawab yang akan diberikan (pada penggal akan datang),” katanya.
Selain kerusi naib presiden, posisi lapan ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) lelaki dan dua Exco wanita juga menjadi rebutan bagi kongres yang akan berlangsung di Subang Jaya hari ini.