KULIM – Trend penyalahgunaan dadah di negara ini semakin membimbangkan apabila jumlah mereka yang terlibat dengan bahan terlarang itu meningkat 32.5 peratus tahun lalu bersamaan 192,857 orang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu meningkat ketara berbanding tahun sebelumnya seramai 145,526 orang, manakala pada 2022 pula seramai 137,176 orang.
“Jumlah penagih terbanyak merangkumi 61 peratus berusia 15 hingga 39 tahun. Mereka terdiri daripada golongan usia produktif,” katanya pada sidang akhbar Program AADK bersama Masyarakat di Padang Serai, di sini hari ini.
Menurut beliau, data tersebut dikumpulkan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan lebih 55 pusat pemulihan swasta.
Katanya, negeri dengan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi adalah Kelantan, diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah yang mana keempat-empat negeri tersebut terletak di sempadan antarabangsa.
“Jika mengikut nisbah per 100,000 penduduk, daerah dengan kes tertinggi pula adalah Pendang di Kedah, diikuti Kuala Krai dan Bachok di Kelantan,” katanya.
Ujarnya, jenis yang banyak disalahgunakan adalah methamphetamine dan Amphetamine Type Stimulant (ATS) yang mana penyalahgunaan dadah tersebut meningkat 34.4 peratus atau 103,990 kes berbanding tahun sebelumnya.
“Penyalahgunaan dadah konvensional juga membimbangkan iaitu ganja yang meningkat kepada 7,121 kes atau 63.4 peratus,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE