MADRID – Pelumba McLaren, Lando Norris melangkah ke musim Formula Satu (F1) 2025 dengan penuh semangat dan bersedia untuk menjadikan pengalaman tahun lalu sebagai batu loncatan dalam usahanya merebut gelaran dunia.
Selepas permulaan perlahan musim 2024, McLaren berjaya melakukan lonjakan besar dengan menaik taraf jentera mereka sekali gus membolehkan Norris memberi saingan sengit kepada juara dunia tiga kali, Max Verstappen dari Red Bull.
Dalam masa sama, Norris menyatakan dia kini lebih tenang, fokus dan bersemangat untuk mencabar kejuaraan musim ini.
“Mentaliti saya sekarang jauh lebih baik berbanding tahun lalu. Saya berasa lebih selesa dan tenang. Banyak perkara saya pelajari sepanjang musim lalu memberikan keyakinan bahawa saya boleh terus bersaing di barisan hadapan,” katanya.
Norris turut mengakui musim 2024 adalah tahun penting dalam membentuk mentaliti dan keyakinannya dengan meraih beberapa kejayaan penting, termasuk petak utama di Grand Prix Abu Dhabi dan beberapa kemenangan untuk menyaingi Verstappen.
“Saya sudah membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya mampu memenangi perlumbaan dan mencabar Max. Kini, saya lebih bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melangkah ke tahap seterusnya,” tambah pemandu berusia 25 tahun itu.
Bagaimanapun, Norris tidak menafikan masih ada ruang untuk penambahbaikan dalam gayanya berlumba, selain menyedari konsistensi adalah kunci utama untuk menewaskan Verstappen yang dianggapnya sebagai salah seorang pemandu paling agresif di grid.
“Kami bercakap tentang Max yang merupakan antara pemandu paling sukar dihadapi. Dia sangat agresif tetapi itu menjadikannya juara. Saya masih belajar untuk meningkatkan permainan saya dan musim ini saya yakin boleh melakukan lebih baik,” ujar Norris. – AGENSI