PETALING JAYA – Malaysia berpotensi untuk menjadi pengeluar teknologi Kenderaan Kawalan Jarak Jauh (ROV) tempatan bagi pasaran Asia pada masa hadapan.
Potensi berkenaan dijangka terus berkembang dengan perkongsian strategik syarikat tempatan Ezed Energy Sdn Bhd (EESB) bersama syarikat peneraju robotik terulung dari Türkiye.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EESB, Mohd. Tarmizi Yahaya berkata, kerjasama itu dijangka melibatkan perkongsian teknologi ROV yang lebih lestari.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Hoytek yang pendekatan inovatifnya melengkapi misi kami untuk menyediakan penyelesaian lestari.
“Bersama-sama, kami berhasrat untuk menetapkan standard industri baharu dari segi kecekapan dan keselamatan dalam operasi bawah air selain membangunkan bakat tempatan Malaysia dalam bidang ini,” katanya sempena Forum Perniagaan Malaysia-Türkiye yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, fasa pertama kerjasama bermula dengan pengeluaran ROV Kelas Kerja untuk ditawarkan kepada pelbagai pelanggan marin dan tenaga di seluruh dunia, dengan sasaran penjanaan nilai sebanyak USD65 juta (RM300 juta).
Selain ROV katanya, kerjasama itu juga akan memanfaatkan teknologi robotik terkini Hoytek serta kepakaran luas Ezed Energy dalam aplikasi tenaga.
“Kenderaan ini direka untuk meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan merentasi pelbagai sektor termasuk marin, keselamatan dan keselamatan merentasi pelbagai sektor termasuk marin, keselamatan dan pertahanan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hoytek, Dr Bertan Tezcan berkata, syarikat itu mempunyai komitmen yang tinggi dalam meneroka sempadan teknologi bersama Malaysia.
“Hoytek sentiasa komited untuk meneroka sempadan teknologi. Kerjasama dengan Ezed Energy menambah nilai besar kepada visi kami untuk mencipta penyelesaian ROV yang pintar dan mampan bagi memenuhi permintaan moden dalam sektor marin dasar laut,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE