KUALA PILAH – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengingatkan semua pengguna untuk tidak menganggap lorong kecemasan sebagai hak eksklusif bagi motosikal.
Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Sazali Harun berkata, sebelum ini beliau menerima mesej hampir setiap hari yang memaklumkan kemalangan maut disebabkan motosikal melanggar kenderaan statik di lorong kecemasan.
“Motosikal beranggapan lorong (kecemasan) eksklusif untuk dia, lorong kecemasan sebenarnya untuk kenderaan yang mengalami kerosakan.
“Jadi kesedaran yang perlu kita ada bahawa lorong ini bukan eksklusif untuk motosikal. Mungkin ada kenderaan yang berhenti (lorong kecemasan) akan dapat lebih berhati-hati.
“Bila ada smart lane, kita lihat penunggang motosikal ini dulu kalau kita lalu (lorong kecemasan), dia akan tendang dan sebagainya, tapi sekarang dia tahu jalan ini dikongsi bersama pengguna lebuh raya lain,” katanya pada Mini Karnival Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di Masjid Kariah Kampung Terusan Seberang, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai situasi semasa perlaksanaan pengaktifan smart lane ketika waktu puncak, hujung minggu dan jalan sesak, beliau berkata, pihaknya bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sudah membuat penelitian di lokasi tumpuan.
Jelasnya, langkah tersebut adalah yang paling efektif, murah dan cepat untuk mengatasi kesesakan trafik di lebuh raya dan hanya boleh digunakan oleh kenderaan ringan. – KOSMO! ONLINE