SKUAD Kuala Lumpur City FC (KL City) yang dilanda masalah bagaikan berpesta meraikan kemenangan menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus semalam.
Kemenangan itu amat bermakna buat KL City bukan sahaja berjaya menamatkan badi kemenangan dengan skuad Sang Penyu malah ia kemenangan pertama setelah mereka tewas enam kali berturut-turut sebelum ini.
Pengendali KL City, Miroslav Kuljanac berkata, anak buahnya layak meraikan kemenangan tersebut setelah bekerja keras dan menunjukkan semangat melawan sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.
“Saya dimaklumkan kita tidak pernah menang di sini (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin), saya dan pemain-pemain gembira berjaya memecahkan rekod ini.
“Mereka telah bekerja keras melupakan segala masalah dihadapi terutama ketiadaan beberapa pemain (penting),” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
KL City yang ketinggalan seawal minit ke-15 berjaya menewaskan TFC menerusi jaringan kapten pasukan, Paulo Josue dan pemain gantian, Patrick Alcala Reichelt masing-masing pada minit ke-45 dan 83. – KOSMO! ONLINE