SHAH ALAM – Lewat bayar gaji punca seorang penyelia kedai runcit warga Bangladesh berusia 45 tahun maut ditetak dengan pisau pemotong daging oleh seorang pekerjanya yang juga warga Banglades di premis itu di Seksyen 7 di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian tetak itu pada pukul 8.26 pagi dan pemeriksaan mendapati mangsa meninggal dunia dengan kesan kecederaan di kepala, badan serta tangan.
“Siasatan mendapati berlaku pertengkaran mulut berkaitan kelewatan bayaran gaji. Keadaan semakin tidak terkawal apabila berlaku pergelutan dan mangsa diserang serta ditetak menggunakan pisau pemotong daging berulang kali,” katanya malam ini.
Mohd. Iqbal berkata, lima warga Bangladesh termasuk dua wanita serta suspek utama berusia 33 hingga 53 tahun ditahan polis pada pukul 1.49 petang hari sama, namun semakan mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau, manakala hasil ujian saringan air kencing negatif penyalahgunaan dadah.
“Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Mohd. Afandi Ahmad di talian 016-7252948 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE