WASHINGTON – Sebuah asteroid ‘pemusnah bandar’ dinamakan YR4 yang berisiko terhempas di Bumi pada 2032 akan mencetuskan letupan lebih 500 kali ganda kekuatan bom atom, lapor portal berita MailOnline.
Letupan berskala lapan megatan itu melebihi 500 kali ganda berbanding bom atom yang digugurkan oleh Amerika Syarikat di bandar Hiroshima, Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua. Bom atom itu mempunyai kekuatan kira-kira 15 kilotan atau 0.015 megatan.
“Kebarangkalian asteroid ini merempuh Bumi adalah lebih daripada 2 peratus,” kata Pengurus Operasi Kajian Angkasa, Universiti Arizona, Dr. David Rankin.
Pakar-pakar berkata, kemungkinan YR4 yang menyamai saiz Menara Condong Pisa di Itali, melanggar Bumi dibimbangi akan mengulangi kejadian asteroid Tunguska yang terhempas di rantau Siberia pada 1908.
Kekuatan letupan asteroid Tunguska yang saiznya menyamai YR4 itu adalah bersamaan 50 juta tan TNT. Letupan itu meratakan kira-kira 80 juta pokok di kawasan seluas 2,149 kilometer persegi hutan dan tiga orang terbunuh.
Dalam perkembangan berkaitan, satu ilustrasi video dicipta oleh Alvaro Gracia Montoya yang merupakan pakar animasi 3 Dimensi (3D), menunjukkan simulasi YR4 terhempas di New York.
Ia menunjukkan batu angkasa itu terbakar ketika jatuh dari langit dan kemudian terhempas di bandar raya itu dengan kekuatan yang mengerikan. – AGENSI