TALLAHASSEE, FLORIDA – Seorang penunggang lembu jantan profesional nyaris maut apabila lehernya tertusuk tanduk haiwan itu ketika menyertai satu pertandingan di negeri Florida,lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Kejadian berlaku pada acara Conley Invitation Bull Riding di bandar Palmetto pada 7 Februari lalu.
Zachary Naegele, 24, memasuki gelanggang dengan menunggang lembu jantan pilihannya sebelum haiwan itu ‘memberontak’, menyebabkan dia terjatuh di hadapan penonton.
“Saya menyangka lembu ini melukakan wajah saya tetapi kecederaan yang berlaku jauh lebih serius apabila leher saya mula memancutkan darah,” kata Naegele.
Imej dimuat naik di media sosial menunjukkan tanduk sepanjang 7.6 sentimeter itu menusuk ke leher Naegele.
Dia dibawa ke Hospital HCA Florida Blake di Bradenton untuk menjalani pembedahan kecemasan.
“Saya diberitahu oleh doktor bahawa saya hampir mati kerana hilang banyak darah,” tambahnya.
Naegele kini pulih dan mampu berjalan, bercakap serta makan dengan sendiri. – AGENSI