BERDURASI sekitar 94 minit, ST Media dengan kerjasama Drias Film Production meluncurkan filem seram baharu berjudul Anak Kunti serentak di pawagam Indonesia dan Malaysia bermula 20 Februari ini. Penulis berkesempatan menonton filem arahan Bambang Drias terbabit baru-baru ini dan hasilnya, tidak langsung mengecewakan.
Pada mulanya beranggapan filem ini sekadar sebuah karya Gred B dari seberang, namun ternyata apa yang dipamerkan di panggung melebihi jangkaan audiens seperti penulis yang sememangnya seorang peminat filem horror.
Sama ‘naik’
Sebelum menonton Anak Kunti, sempat juga menonton filem Indonesia yang mendapat rating agak baik daripada penonton dalam platform Netflix seperti Sumala dan Thaghut.
Verdict? Rupa-rupanya Anak Kunti juga tidak kurang hebatnya dari segi tahap keseraman, ‘jumpscare’ serta plot twist. Sama ‘naik’ dengan Sumala dan Thaghut yang sememangnya menjadi mimpi ngeri ramai.
Pertama sekali, jalan cerita Anak Kunti mudah meresap masuk ke dalam jiwa mereka yang menonton.
Menggunakan permainan karakter pelajar pesantren yang cuba menggali salahsilah keluarga ternyata menjadi satu percubaan ‘mengena’ pengarah.
Seperti Thaghut cumanya, Anak Kunti pendekatannya lebih tradisional. Hantu atau entiti yang dimainkan lebih bersifat lebih ‘serantau’ atau dekat dengan orang kita berbanding dua filem yang disebutkan di perenggan atas.
Hantu kuntilanak dalam Anak Kunti sama DNAnya seperti apa yang pernah divisualkan dalam filem-filem atau kisah-kisah legenda Indonesia, namun tetap menjadi mimpi ngeri mereka yang menonton.
Kuntilanak mengilai, terbang tinggi sampai atas pokok, dendam kesumat yang tidak berkesudahan kerana ketidakadilan manusia setempat, itu semua boleh dijangka dalam naskhah ini.
Mesej yang sedikit serupa dalam Thaghut dan Anak Kunti dapat dilihat jelas. Misalnya, soal ajaran agama yang tidak dipraktikkan dalam sebuah perkampungan, itu semua dapat ‘dihidu’ dalam cerita seram ini diangkat dari kisah benar Kampung Wonoenggal di Jogjakarta.
Gisellma MVP
Keduanya, permainan karakter utamanya iaitu Gisellma Firmansyah sebagai Sarah, Nita Gunawan (Wati) dan Wavi Zihan (Azizah) tidak langsung menghampakan.
Gisellma yang menjayakan karakter Sarah sangat bertepatan dengan susuk seorang pelajar pesantren penuh kebuntuan dalam hidup.
Mimik wajah, bahasa tubuh dan permainan emosi seorang anak yang ‘disturbed’ diterjemahkan cukup cemerlang oleh Gisellma. Syabas untuk pasukan ‘casting’ Anak Kunti.
Selain apa yang dijelaskan, Anak Kunti juga didatangkan dengan kualiti sinematografi yang mempesona.
Buat penulis secara peribadi, dalam rasa takut untuk berkunjung ke perkampungan Wonoenggal, ingin juga ke sana disebab keindahan serta kehijauan dipaparkan di kawasan itu.
Keseluruhannya, Anak Kunti tidak mengecewakan dan melepasi ekspektasi awal penulis. Ceritanya ‘sampai’, ‘jumpscare’ yang disuntik secukup rasa dan menghadirkan rasa kesedaran pentingnya agama dalam kehidupan bermasyarakat.