PETALING JAYA – “Kita reda ya, reda…kita semua hanya pinjaman.”
Demikian kata isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada Muhammad Khairuddin Sa’ari yang kehilangan isteri serta empat anak dalam kejadian kebakaran tragis di Jasin, Melaka baru-baru ini.
Momen menyayat hati itu dikongsikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim menerusi hantaran di Instagram selepas menziarahi Muhammad Khairuddin di Bemban, Melaka semalam.
Adam Adli berkata, beliau berkesempatan menghubungkan Muhammad Khairuddin dan Dr. Wan Azizah menerusi panggilan telefon.
Beliau turut menyampaikan salam takziah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perbualan itu, Dr. Wan Azizah turut menitipkan kata-kata semangat kepada Muhammad Khairuddin agar terus tabah menghadapi ujian berat ini.
“Allah tak akan uji kita lebih dari kita boleh tahan, kuat nak (anak) kuatkan semangat,” katanya.
Muhammad Khairuddin yang masih dalam keadaan pilu hanya mampu membalas dengan nada perlahan, “insya-Allah, reda.”
Adam Adli dalam hantarannya turut mengajak orang ramai mendoakan Khairuddin agar terus cekal menghadapi dugaan serta mendoakan agar roh isteri dan anak-anaknya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan sebuah rumah musnah dalam kebakaran yang mengorbankan lima sekeluarga termasuk seorang wanita yang hamil lima bulan.
Kejadian pukul 1.30 pagi itu meragut nyawa Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya iaitu Nur Damia Batrisyia, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4.
Suami Laila Fathinah, Muhammad Khairuddin, 35, terselamat, namun mengalami sesak nafas selepas terhidu asap tebal. – KOSMO! ONLINE