SHAH ALAM – Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi memaklumkan, perkembangan kes pemain Selangor FC, Faisal Halim antara pertanyaan bakal dibangkitkan semula pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang bersambung minggu ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri kekal berharap siasatan polis berkaitan kes serangan asid itu masih diteruskan dan maklumat terbaharu setakat ini cuma berkaitan kes tersebut diambil alih pasukan khas Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) , Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Justeru, kita harap kes itu terus disiasat polis dan menerima laporan hasil siasatan mengenainya kelak,” katanya selepas merasmikan restoran Burg&Go di Seksyen 7 di sini, petang ini.
Dalam kejadian 5 Mei 2024, Faisal, 26, mengalami lecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di Kota Damansara dekat sini. – KOSMO! ONLINE