MARANG – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.84 bilion bagi projek-projek pembangunan fizikal di Terengganu di bawah Rolling Plan 5 (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada tahun ini.
Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nik Nasarudin Mohd. Zawawi berkata, peruntukan tersebut melibatkan 402 projek pembangunan yang bakal memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Beliau berkata, tujuh projek baharu berkenaan akan dibangunkan di daerah ini melibatkan peruntukkan keseluruhan RM78.15 juta.
“Antara projek itu adalah pembinaan kolej matrikulasi baharu dan pembinaan bangunan tambahan 10 bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan dua bengkel kemahiran di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Telanai.
“Selain itu, perolehan tanah bagi pembinaan Kampus Politeknik Kuala Terengganu dan menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang di laluan Jalan Kuala Terengganu – Kuantan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Santuni Madani di Bukit Payong, di sini hari ini.
Pada karnival itu, Nik Nasarudin turut menyampaikan sumbangan kepada 200 penerima bakul makanan, komputer riba 200 penerima, motosikal, pek kembali ke sekolah serta menyantuni anak-anak yatim di Asrama Anak Yatim Darul Falah. – KOSMO! ONLINE