PETALING JAYA – Pernah akrab, penyanyi Shila Amzah mendedahkan suatu masa dahulu bersahabat dengan wanita yang kini bergelar ibu tirinya.
Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 34, berkata perkara tersebut disedari ketika membelek ruangan galeri telefon bimbitnya.
“Nak bersihkan galeri foto, saya baru menyedari saya mempunyai terlalu banyak gambar dengan ibu tiri saya.
“Ketika itulah saya sedar dia pernah menjadi sahabat saya,” katanya menerusi perkongsian dalam platform Х.
Begitupun, anak sulung kepada penyanyi dan pelakon senior Datuk ND Lala itu tidak memperincikan butiran individu dimaksudkan.
Pendedahannya meraih perhatian netizen yang meninggalkan komen berkenaan rakan akrab sebagai sesuatu yang perlu diawasi.
“Kawan baik pun merisaukan sekarang ini. Mereka adalah maut!” komen netizen.
Terdahulu, sekitar awal 2023 Shila pernah memuat naik hantaran mencari seorang wanita tanpa menjelaskan punca atau sebab.
Tulisnya dalam ruangan kapsyen, individu berkenaan merupakan rakan baiknya ketika belajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur.
Tidak lama selepas itu, media melaporkan seorang penyanyi dan pelakon lelaki popular era 80-an didakwa bernikah lagi satu secara rahsia.
Khabar angin mendakwa ND Lala atau Datuk Amir Amzah Salleh, 63, sudah menikahi wanita yang jauh lebih muda daripadanya sebagai isteri kedua.
Bapa empat anak itu kemudian menceraikan Fauziah pada 8 Ogos tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.- KOSMO! ONLINE