SEREMBAN – Kerajaan sedang meneliti keperluan rangka kerja perundangan yang lebih ketat bagi memastikan ketelusan dalam pembiayaan politik dan mengelakkan penyalahgunaan dana.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, isu pendanaan politik perlu menjadi perhatian dalam usaha membanteras rasuah kerana politik wang boleh membawa kepada risiko penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.
“Justeru penggubal undang-undang memainkan peranan penting dalam memastikan dasar lebih ketat dapat dilaksanakan bagi mengawal dana politik secara lebih telus dan berintegriti,” katanya pada sesi libat urus SPRM bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan di sini semalam.
Sementara itu, Azam berkata, Indeks Persepsi Rasuah 2024 yang baru diumumkan menunjukkan kedudukan dan skor CPI negara masih sama berbanding tahun sebelum.
“Prestasi CPI Malaysia tahun ini dianggap sebagai satu cabaran kepada SPRM untuk melipat gandakan usaha dan komitmen mencapai tangga ke-25 dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE