PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan untuk campur tangan dalam usaha meningkatkan kualiti dan ekosistem Liga Malaysia (Liga M) yang dianggap seperti ‘tidak sihat’ ketika ini.
Pandangan tersebut disuarakan oleh Presiden FAM yang baharu, Datuk Joehari Mohd. Ayub sebaik dilantik secara rasmi bagi menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan itu pada Kongres Pemilihan FAM kali ke-61 bagi penggal 2025-2029 hari ini.
Menurut Joehari, perkara tersebut dianggap sebagai salah satu agenda penting fokus FAM di bawah kepimpinannya untuk melihat Liga M yang dilangsungkan dengan lebih baik pada masa akan datang.
“Saya akan melihat secara mendalam sebab kita tahu keadaan dalam Liga M sekarang ini tidak berapa sihat.
“Ini salah satu pelan yang utama yang kita akan lihat, pastikan kerjasama dengan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) untuk memperbaiki liga kita sekarang,” katanya secara ringkas.
Dalam kongres pemilihan di Subang Jaya itu, Joehari yang juga tokoh korporat dari Sabah menang tanpa bertanding sekali gus muncul presiden FAM ke-8 dalam sejarah badan induk sejak ditubuhkan pada 1926.
Sebagai rekod, saingan Liga M ketika ini dicemari dengan pelbagai isu ‘luar padang’ termasuk isu tunggakan gaji, jadual liga yang tidak teratur serta kehadiran penyokong yang sendu. – KOSMO! ONLINE