fbpx

Ekonomi kukuh, banyak peluang pekerjaan – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ketahanan ekonomi Malaysia terus terbukti apabila pertumbuhan negara mencatatkan kadar 5.1 peratus bagi tahun 2024, meningkat berbanding 3.6 peratus pada tahun sebelum.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, angka itu bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan keberkesanan dasar Kerajaan Madani dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing.

Katanya, pencapaian tersebut menjadi bukti usaha kerajaan dalam merancakkan pelaburan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Saya turut memikul tanggungjawab dalam pembangunan luar bandar, keusahawanan, Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), industri halal, ekonomi Bumiputera dan pelancongan, saya percaya kejayaan ini mesti diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat.

“Ia termasuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan, pembukaan perniagaan baharu, peningkatan kemudahan infrastruktur dan pemacuan taraf hidup, khususnya bagi masyarakat luar bandar dan Bumiputera yang menjadi tunjang kekuatan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, lebih 8 juta rakyat kini tinggal di luar bandar dan kerajaan komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur asas, bekalan air bersih, elektrik serta internet terus dipertingkatkan.

Beliau menambah, kerajaan juga akan memperkukuh akses kepada pembiayaan strategik melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi merancakkan pemerkasaan ekonomi negara, selain memastikan tenaga kerja yang lebih mahir melalui Majlis TVET Negara.

Selain itu , ujarnya industri halal juga berpotensi menjadi pemangkin utama ekonomi negara dengan Malaysia perlu kekal sebagai hab halal global melalui pengukuhan ekosistem halal dan peluasan pasaran eksport.

Dalam pada itu, katanya sektor pelancongan turut menjadi penyumbang utama ekonomi negara dan Visit Malaysia 2026 akan menjadi pemacu utama industri berkenaan melalui segmen ekopelancongan, agropelancongan, pelancongan Islamik dan budaya.

Ahmad Zahid berkata, usaha kerajaan telah menunjukkan hasil apabila buat pertama kali sejak 2018, permintaan tenaga buruh sektor swasta melebihi 9.01 juta, menandakan pemulihan kukuh ekonomi selepas ketidaktentuan politik dan kesan pandemik Covid-19.

“Saya yakin, Malaysia kini berada di landasan kukuh menuju pertumbuhan mampan dan inklusif.

“Kejayaan ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, dan rakyat, agar manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI